AM

Jakim Nasihat Pendakwah Bebas Supaya Tidak Kenakan Bayaran Terlalu Tinggi

09/02/2025 03:29 PM

LABUAN, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan pendakwah bebas supaya tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi untuk berdakwah, di samping mengingatkan supaya mereka tidak menyamakan status diri dengan selebriti.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata jabatan itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan majlis agama negeri bagi memantau dakwaan berhubung pendakwah mengenakan caj tinggi bagi aktiviti mereka.

"Kita sedang memantau, kerana kita ada mendengar mengenai dakwaan sebegitu… Pendakwah ini dinasihatkan agar tidak menganggap diri mereka seperti selebriti yang mengaut keuntungan daripada suara mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Wakaf untuk membina Surau Al-Kausar Jabatan Kesihatan Labuan hari ini.

Beliau menggesa para pendakwah supaya mengenakan bayaran sederhana untuk perkhidmatan mereka bagi menjaga kesucian dakwah dan menegakkan imej positif Islamiah, di samping mengelak daripada timbulnya persepsi tidak baik terhadap mereka yang diamanahkan menyebarkan ajaran agama.

Dr Sirajuddin berkata bagaimanapun jabatan itu masih belum melihat keperluan untuk memperkenalkan garis panduan khusus mengenai bayaran bagi pendakwah, dan keadaan masih terkawal. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan