AM

WEC 2025 Bincang Konsep 'Caregiverpreneurship' - Nancy

10/02/2025 05:36 PM

KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Konsep 'caregiverpreneurship' akan menjadi antara topik dibincangkan semasa Persidangan Keusahawanan Wanita (WEC) 2025, pada 21 dan 22 Feb ini. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata topik itu bertujuan meningkatkan penglibatan penjaga profesional di Malaysia, merangkumi perkhidmatan untuk warga emas, kanak-kanak dan ibu berpantang.  

"Kami mahu lebih ramai terlibat dalam industri penjagaan kerana permintaannya semakin meningkat… kita tidak mahu orang memandang rendah kepada mereka yang bekerja dalam bidang ini, jadi kita mahu menggalakkan mereka dengan memberi jenama lebih baik. 

"Melalui Kepengerusian ASEAN tahun ini, saya bertanggungjawab untuk sektor wanita, dan ‘caregiverpreneurship’ adalah antara bidang yang akan kita berikan fokus," katanya pada sidang media mempromosikan WEC 2025 di Menara Panggau Dayak di sini hari ini. 

Antara sorotan utama pada persidangan dua hari itu termasuk industri hospitaliti, e-penjenamaan dan pemasaran selain ekonomi gig serta ekonomi kitaran. 

Sementara itu Presiden Persatuan Jaringan Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) Kuching Dr Carolina Sandra Giang menggesa penduduk Sarawak terutamanya komuniti Dayak untuk menceburi industri penjagaan. 

"Kami mendapati sangat sedikit penyertaan komuniti Dayak dalam industri ini, seperti perkhidmatan selepas bersalin. Kita dapati bilangan yang lebih ramai terlibat ialah masyarakat Melayu. 

"Jadi kita mahu menggalakkan lebih ramai wanita Dayak untuk terlibat dalam perniagaan seperti ini sebagai pilihan, bukan hanya kraf tangan tetapi ada perkara lain yang sebenarnya boleh mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata persidangan yang akan berlangsung di menara itu telah menarik penyertaan 153 peserta daripada pelbagai industri. 

WEC 2025 anjuran WESNA Kuching merupakan platform strategik bagi melengkapkan wanita Dayak dengan kemahiran, sumber dan rangkaian diperlukan untuk berkembang maju dalam perniagaan, selain memberi tumpuan kepada usahawan wanita dan memastikan mereka mempunyai peluang sama untuk berjaya dalam bidang ekonomi yang kompetitif serta berkembang. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan