TELUK INTAN, 14 Feb (Bernama) -- Pelarasan Semula Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500 per tan metrik berbanding RM1,300 sebelum ini membakar semangat pesawah yang melihatnya sebagai satu sinar baharu dalam memperbaiki keadaan ekonomi mereka.
Langkah itu bukan sekadar mengurangkan beban kos operasi tetapi juga memberi dorongan kepada mereka untuk terus giat dalam sektor pertanian padi.
Tinjauan Bernama di sekitar daerah Hilir Perak dan Kerian mendapati rata-rata pesawah melihat pengumuman itu sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh sektor pertanian padi, meningkatkan daya saing serta menjamin kelangsungan ekonomi pesawah dalam jangka panjang.
Seorang pesawah Siti Nor Faizah Mohd Salbani, 42, berkata harga lantai baharu itu memberi kelegaan dalam menampung peningkatan kos operasi termasuk sewaan peralatan pertanian yang kian membebankan.
“Sekarang kos sewaan jentera membajak dah naik daripada RM160 mencecah RM240 sehari manakala upah mesin dan lori mengangkut padi melonjak daripada RM110 kepada RM160 per tan metrik.
"Jadi, apabila pelaksanaannya dikuatkuasakan Ahad (16 Feb) ini, mudah-mudahan kami dapat memperoleh rezeki lebih baik daripada sebelum ini,” katanya yang mengusahakan tanaman padi di sekitar kawasan Chenderong Balai (Hilir Perak).
Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pesawah di Kerian Khairul Azhar Abd Manaf, 48, yang berpendapat pengumuman itu turut membantu dalam meminimumkan kerugian hasil tuaian akibat faktor cuaca dan serangan penyakit.
“Kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan menaikkan harga lantai belian padi sekali gus menyuntik semangat pesawah untuk terus bertani,” katanya.
Bagi Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi, 41, pula dia berharap pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berwajib bagi memastikan segala masalah atau isu yang kemungkinan berlaku dapat diselesaikan dengan pantas dan mudah.
“Kami memang bersyukur cuma sedikit sebanyak turut rasa bimbang jika kenaikan ini tidak dipantau oleh pihak berwajib maka akan ada kartel yang mencari jalan untuk mengaut keuntungan secara salah.
“Sebagai contoh, kita bimbang walaupun harga beras putih tempahan kekal namun masih berlaku masalah ketiadaan beras putih tempatan sama ada disorok atau ditukar kepada beras import,” katanya yang berpengalaman selama 16 tahun dalam mengusahakan tanaman ruji berkenaan di Kerian.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari pula menyifatkan keputusan itu bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam membela nasib pesawah, khususnya di Kedah yang merupakan antara penyumbang utama pengeluaran padi negara
“Penyelarasan ini yang kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga lantai belian padi tidak berubah,” katanya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelarasan semula harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, selain mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran berkata pelarasan harga lantai belian padi itu ialah petunjuk bahawa kerajaan menjaga peranan penting pesawah.
"Pelarasan ini ialah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas peningkatan daripada RM1,200 kepada RM1,300 pada 2023. Pelarasan sebelum ini dilakukan pada 2014," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah ini tidak membebankan rakyat kerana kerajaan memperuntukkan subsidi kira-kira RM150 juta kepada kilang padi untuk mengekalkan harga jualan maksimum beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial