AM

Kelantan Adakan Sesi Libat Urus Atasi Gejala Dadah Dalam Masa Terdekat - Exco

16/02/2025 08:37 AM

KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan mengadakan sesi libat urus melibatkan semua pihak berkepentingan atau agensi berkaitan bagi merangka pelan bersepadu dalam menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri ini dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata buat masa ini pihaknya bekerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan, polis dan pusat pemulihan bagi mengatasi isu berkenaan.

"Kita juga sedang memperkemaskan dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) agar menjadi payung bagi penyelarasan semua aktiviti berkaitan pencegahan dan pemulihan dadah di Kelantan.

"Malah, kita juga akan terus memperbanyakan aktiviti rekreasi anak muda supaya masa mereka terisi dengan perkara yang bermanfaat, selain usaha pendidikan dan pencegahan terus dilaksanakan di semua peringkat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Isu penyalahgunaan dadah di negara ini semakin membimbangkan dengan trend menaik setiap tahun sejak 2022.

Saifuddin Nasution berkata Kelantan berada dalam senarai teratas kadar penyalahgunaan dadah tertinggi, berdasarkan nisbah per 100,000 penduduk diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah dengan 61 peratus daripada jumlah penagih pula berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun.

Pendang, Kedah menjadi daerah yang mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan, manakala methamphetamine atau syabu dan amphetamine-type stimulants (ATS) merupakan dadah paling banyak disalahgunakan, yang didapati meningkat 34.4 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan