JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Yang Maut Pada Konsert Ambang Tahun Baharu Disahkan Akibat Dadah - Polis

19/02/2025 08:35 AM

SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan tiga daripada empat mangsa yang meninggal dunia semasa menghadiri sebuah konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Dis lepas adalah akibat pengambilan dadah stimulan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia berdasarkan laporan patologi diterima dan pihaknya masih menunggu laporan seorang lagi mangsa untuk melengkapkan siasatan.

"Setakat ini 53 saksi telah dirakam percakapan dan siasatan masih diteruskan serta akan dirujuk kepada koroner setelah siasatan lengkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata seorang lagi mangsa masih berada di hospital dan dalam keadaan stabil serta memerlukan pemantauan rapi. 

Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata siasatan awal polis mendapati dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri sebuah konsert di Bandar Sunway, pada ambang tahun baharu disyaki mengambil dadah jenis ekstasi.

Selain empat mangsa terbabit, terdapat tiga lagi mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan mempunyai simptom sama seperti mangsa yang maut. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan