KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu elektrik yang akan dilaksanakan bermula pada 1 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata tarif baharu elektrik itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira input serta pandangan pihak berkepentingan yang diperoleh menerusi sesi libat urus pada 13 Jan dan 5 Feb lepas.
"Kementerian memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Hal ini bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung serta pengguna dalam kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus kekal dilindungi," katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi PETRA di Dewan Rakyat hari ini setelah dibahas 53 Ahli Parlimen.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 136 projek tebatan banjir dengan kos RM22.86 bilion diluluskan hingga Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia ke-12.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 projek dalam peringkat prapelaksanaan manakala 73 projek sedang dilaksanakan.
“Melalui pendekatan bukan struktur, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan pelan induk tebatan banjir di seluruh Malaysia secara berperingkat bertujuan menyediakan pelan tindakan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
“Kajian-kajian ini mengambil kira faktor perubahan iklim dan perubahan guna tanah sebelum cadangan pelaksanaan projek fizikal,” katanya.
Fadillah berkata hingga RP5 2025, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan dan enam pelan pula sedang dibangunkan manakala tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan bermula pada Jun ini.
PETRA juga melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pengoperasian dan kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dengan jumlah kos RM540 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial