AM

Sanggup Bujang, Kerja Sambilan Demi Jaga Bapa

20/02/2025 10:34 PM

BATU PAHAT, 20 Feb (Bernama) -- Seorang anak sanggup berkorban untuk tidak berkahwin serta berhenti bekerja semata-mata demi menjaga bapanya yang sakit dan memerlukan penjagaan sepenuh masa setelah kakinya dipotong sehingga paras lutut akibat diabetes tahun lepas.

Bagi Noraziana Mansoor, 41, bapanya Mansoor Mohd Sairi, 75, kini adalah segala-galanya dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga dengan sebaiknya sebagai membalas jasa orang tuanya.

Katanya sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang berhampiran tetapi terpaksa berhenti kerja. Kini, dia hanya bekerja secara sambilan dalam bidang katering kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada bapanya yang tidak boleh bergerak sendiri, terutamanya dalam urusan sehariannya.

Tambahan pula, adik-beradiknya tinggal jauh.

“Selain itu, selepas kakinya dipotong, bapa memerlukan rawatan susulan di dua hospital, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, setiap bulan,” katanya kepada pemberita semasa Program Ziarah Kasih MADANI di kawasan Parlimen Sri Gading, hari ini.

Program berkenaan turut menyaksikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan Ihsan MADANI kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Mansoor, seorang pesara bahagian penyelenggaraan di HSNI, berterima kasih dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh pihak Perdana Menteri dalam program berkenaan.

Seorang lagi penerima sumbangan, Zainal Abidin Abdullah, 74, yang uzur, turut gembira apabila rombongan dari Pejabat Perdana Menteri  hadir ke kediamannya untuk menjenguk golongan sakit dan warga emas.

“Kami, yang tergolong dalam golongan veteran (pesara tentera), gembira dengan kehadiran rombongan dari pihak PM, terutamanya kerana mengenang jasa kami terdahulu… terima kasih kerana masih mengingati kami,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, Program Ziarah Kasih MADANI kali ini menyantuni kira-kira 1,400 golongan memerlukan di tujuh kawasan parlimen di Johor.

Katanya program tiga hari yang bermula semalam itu menyantuni golongan memerlukan di kawasan Parlimen Kulai, Kluang, Ayer Hitam, Sri Gading, Muar, Bakri dan Pagoh.

“Kita bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.

“Antara penerima ialah golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, dan warga emas yang uzur,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Zainal Abidin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan