GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Nenek kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula jenis gummy, Hambiah Kassim, 75, berkata walaupun amat sedih dengan kejadian terbabit, keluarga terutama ibu dan bapa Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, reda dengan pemergian anak sulung daripada dua beradik itu.
Hambiah berkata insiden itu juga pastinya memberikan kesan mendalam buat anaknya Nuraini Mohamad Isa, 37, dan suami Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, kerana menunggu selama empat tahun untuk mendapat zuriat pertama.
"Kami berserah sepenuhnya kepada Allah … arwah sangat rapat dengan saya kerana sering menetap di rumah saya di Tebengau, Alor Setar, Kedah setiap kali musim cuti sekolah," katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz semasa kanak-kanak itu pulang ke kampung pada cuti sekolah baru-baru ini dan tinggal dengannya selama dua minggu sebelum kembali ke rumah ibu bapanya di Sungai Dua, Butterworth pada 15 Feb lepas.
"Arwah sangat manja dan mesra dengan saya, sepanjang berada di kampung, saya nampak beberapa perubahannya antaranya kurang bercakap dan mendiamkan diri … mungkin arwah nak tinggalkan kenangan (kurang bercakap) itu kepada saya," kata nenek kepada 11 cucu itu.
Hambiah yang beberapa kali menahan sebak berkata sebaik diberitahu tentang kejadian itu, dia terus ke HPP dan melawat cucunya di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HPP setiap hari.
"Semasa jenazah dimandikan, saya tengok sekejap-sekejap sahaja kerana terlalu sedih, tetapi nampak keadaan arwah begitu tenang dan seperti sedang tidur sahaja," katanya.
Sementara itu, Mohamad Fakhruddin yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HPP berkata dia dan isteri menerima takdir yang tertulis walaupun secepat ini anak sulungnya itu meninggalkan mereka, namun reda kerana sekurang-kurangnya arwah tidak lagi menanggung sakit.
"Anak saya pergi dalam keadaan tenang dan saya lihat dia seolah-olah sedang tidur, tunggu ibu dan baba di syurga nanti ya, Fahmi," katanya dan menambah Mohammad Fahmi Hafiz menghembuskan nafas terakhir selepas ibunya melafazkan syahadah di telinga kanak-kanak itu.
Terdahulu, proses bedah siasat jenazah Mohammad Fahmi Hafiz yang bermula pada 9 pagi tadi di Jabatan Perubatan Forensik HPP, selesai sepenuhnya pukul 12 tengah hari sebelum dimandikan dan dikafankan di situ.
Jenazah murid tahun empat itu kemudian dibawa keluar dengan van jenazah dengan ditemani kedua-dua ibu bapanya untuk dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai, Penaga dekat sini sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat.
Mohammad Fahmi Hafiz yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy pada Selasa lepas, meninggal dunia ketika menerima rawatan di PICU HPP kira-kira 11 malam tadi.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial