AM

Laut China Selatan: ASEAN Tekankan Keperluan Penglibatan Dalam Diplomasi Pertahanan

26/02/2025 05:32 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- ASEAN menekankan kepentingan penglibatan berterusan diplomasi pertahanan dan keperluan untuk mendukung undang-undang antarabangsa dalam menangani konflik wilayah, termasuk isu Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menekankan kepentingan mengekalkan kerjasama maritim pelbagai hala di samping mendukung undang-undang antarabangsa, khususnya undang-undang laut.

"Kita sememangnya sudah mempunyai kerjasama maritim pelbagai hala dan akan diteruskan. Namun, pada masa yang sama, menekankan keperluan setiap negara, sama ada negara anggota ASEAN atau tidak, untuk sentiasa mendukung undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut.

“Banyak latihan ketenteraan maritim telah dilaksanakan antara ASEAN dan bukan negara anggota ASEAN, tetapi kita mahu memastikan konflik tidak terus meruncing," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan diplomasi juga menjadi penyelesaian untuk menangani isu Myanmar sejajar dengan panduan yang ditetapkan pemimpin ASEAN.

Mohamed Khaled turut menyentuh mengenai keperluan untuk lebih menumpukan kepada perlindungan infrastruktur kabel dasar laut, berikutan insiden gangguan kabel di Laut Baltik.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk ASEAN memberikan keutamaan kepada aspek pertahanan kabel dasar laut di rantau ini, dengan membawa isu untuk dibincangkan secara lebih menyeluruh.

Selain itu, beliau mengesahkan bahawa Majlis Keselamatan Rusia telah menghubungi Malaysia bagi mengatur pertemuan dengan beberapa pegawai kanan Malaysia. 

Menurut laporan, Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Sergei Shoigu mengadakan lawatan kerja ke Indonesia dan Malaysia pada 24 hingga 28 Feb untuk membincangkan isu keselamatan serta pertahanan.

Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan