SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam membangunkan Taman Aero Selangor, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perjanjian yang bakal berlangsung pada Mac itu, antara lain bertujuan membangunkan industri aeroangkasa sebagai usaha berterusan kerajaan memacu ekonomi negeri.
“Kita telah mencapai tahap persetujuan bersama Khazanah dan MAHB setelah beberapa siri perbincangan diadakan.
“Insya-Allah pada Mac nanti kita akan menandatangani MoU dan perjanjian itu akan dilengkapkan secepat mungkin. Hal ini kerana pada Jun 2025 kita akan laksanakan pecah tanah (Taman Aero Selangor),” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih dan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu katanya, dilaksanakan sebagai persediaan kerajaan negeri bagi menyertai pameran Paris Air Show yang dijangka berlangsung tahun ini.
Beliau berkata pembangunan Taman Aero Selangor diumumkan di Farnborough International Airshow 2024 di United Kingdom, tahun lepas.
“Jadi, kali ini kita tawarkan tapak yang telah sedia dipersetujui (dimeterai) pada pameran (Paris Air Show) demi membangunkan industri aeroangkasa, di samping mengukuhkan kehadiran Selangor sebagai pemain industri aeroangkasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial