AM

Kementerian Pandang Serius Kewujudan Akaun Palsu - Teo Nie Ching

28/02/2025 03:09 PM

KULAI, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi memandang serius kewujudan akaun media sosial palsu yang semakin berleluasa di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata meskipun tindakan awal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan pautan URL kepada penyedia platform media sosial META untuk tindakan menurunkan akaun palsu berkenaan namun belum mampu mengekang kewujudan akaun palsu yang turut melibatkan tokoh terkenal.

"Ini satu cabaran yang sangat besar, kementerian dan MCMC mengambil sangat serius terhadap 'fake account' yang telah diwujudkan dengan agenda tertentu. 

"Kita nampak bahawa trend ini sangat tak sihat kerana sekarang bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong sahaja terkena tetapi juga melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Future Health 4 All di Dewan Raya Putra Kulai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Teo berkata pihaknya kecewa platform media sosial seperti META tidak mengambil langkah tegas bagi mengekang kewujudan akaun palsu yang menggunakan imej tokoh terkenal untuk menarik masyarakat menyertai sindiket penipuan dalam talian.

Ahli Parlimen Kulai itu berharap penambahbaikan dapat dilakukan oleh penyedia platform seperti META, susulan pertemuan yang dilakukan antara MCMC dan META.

"Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sebenarnya ada buat pertemuan dengan META minggu ini ataupun minggu lepas, jadi kami harap dari META boleh buat saringan dengan iklan-iklan berkenaan dengan lebih baik.

“ … kerana mereka memang menjadi secara tidak langsung memberi kebenaran kepada scammer (penipu) yang buat kandungan palsu untuk ‘scam’ warga Malaysia dan itu yang kami tak boleh terima," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Teo menggesa rakyat negara ini menggunakan AIFA atau 'Artificial Intelligence Fact-check Assistant' yang diterajui MCMC untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian.

Beliau berkata aplikasi itu, antara pendekatan MCMC untuk membina dan mencorakkan pemikiran masyarakat supaya menyemak setiap berita atau fakta yang diterima, terutamanya di platform dalam talian sekali gus mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.

"lni adalah untuk satu platform ataupun satu chat box untuk orang buat pengesahan tentang sesuatu maklumat yang mereka terima.

"Tujuan kita adalah untuk mendidik masyarakat supaya mereka pandai buat semakan terhadap sesuatu maklumat, sebagai contoh maklumat palsu yang mendakwa Kerajaan MADANI ada usaha untuk mendidik warga B40 di Malaysia melabur mata wang bitcoin atau crypto jadi, boleh tanya dalam AIFA semakan maklumat ini betul atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan AIFA yang diperkenalkan oleh MCMC menerima sebanyak 57,782 pertanyaan sejak dilancarkan pada 28 Jan lepas.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan