IPOH, 1 Mac (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membantu kira-kira 400 murid dalam kalangan keluarga B40 di Beruas meneruskan sesi persekolahan tahun ini.
YBR dalam kenyataan memaklumkan bantuan itu bertujuan memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan.
Menurut yayasan itu, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad telah menyempurnakan Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR di Dewan Inderawati, Beruas hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Azhar dalam kenyataan sama berkata beliau sangat berterima kasih atas sokongan berterusan YBR dalam membantu golongan kurang berkemampuan khususnya kalangan pelajar di sekitar Beruas dan berharap yayasan itu dapat membantu lebih banyak program berunsurkan pendidikan di Perak.
"Bantuan seumpama ini perlu bagi mereka yang berada di luar kawasan bandar untuk menarik minat mereka hadir ke sekolah," katanya.
Sementara itu, Syaiful Rizal berkata beliau berharap bantuan itu dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.
"Bantuan ini merupakan tanda kasih sayang YBR dalam menyantuni mereka yang memerlukan dan memberi semangat kepada pelajar-pelajar sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang serta mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung ibu bapa," katanya dalam kenyataan itu.
Sepanjang 2024, seramai 31,865 murid sekolah telah menerima manfaat menerusi bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan RM3.46 juta melibatkan 83 lokasi.
Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, YBR komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial