AM

Bazar Ramadan Terus Jadi Tumpuan Orang Ramai Dapatkan Juadah Berbuka Puasa

02/03/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Setiap kali bulan puasa, bazar Ramadan di seluruh negara terus menjadi tumpuan utama orang ramai bagi membeli pelbagai jenis makanan sama ada tradisional atau moden untuk berbuka.

Di ibu negara, bazar Ramadan yang tidak asing lagi pastinya di Kampung Baru dan warga kota memanfaatkan hari pertama Ramadan tahun ini yang kebetulan jatuh pada hujung minggu untuk ke lokasi popular itu.

Seorang pengunjung, Damia, 26, yang ditemui Bernama teruja dan kagum dengan saiz bazar tersebut di samping kebersihannya.

"Ini pertama kali saya datang bazar Kampung baru dan ia sangat besar, setakat ini harga makanan sangat berpatutan serta bersih. Ia juga tidak sesak, jadi saya boleh santai-santai cari makanan," katanya.

Di SELANGOR, orang ramai mula menyerbu Bazar Ramadan Stadium Shah Alam seawal 3 petang biarpun operasi bazar berkenaan bermula pada 4 petang hingga 8 malam.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun keberadaan bazar ikonik bandar raya itu dialihkan dari lokasi lama di sekeliling pekarangan Stadium Shah Alam yang dirobohkan tahun lepas, ke tapak berhampiran parkir stadium, ia masih mampu menarik pengunjung yang ramai untuk membeli-belah makanan serta minuman.

Di PUTRAJAYA, keadaan di Bazar Ramadan Presint 3 yang menempatkan 290 lot gerai meriah dengan kehadiran orang ramai seawal 4 petang untuk membeli juadah berbuka puasa.

Tinjauan turut mendapati rata-rata pengunjung membawa beg kitar semula yang menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar semakin terserlah dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, di KEDAH orang ramai mengambil peluang mengunjungi bazar berikutan awal Ramadan diisytiharkan sebagai cuti umum di negeri tersebut.

Tinjauan di Bazar Ramadan Simpang Empat dekat Alor Setar mendapati ada pengunjung yang datang ke bazar itu seawal 4 petang untuk meninjau dan membeli pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Di JOHOR, hujan gerimis tidak menghalang penduduk sekitar mengunjungi bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru seawal 4 petang bagi mendapatkan juadah untuk berbuka antaranya martabak dan roti john yang sering diserbu pengunjung.

Di SARAWAK bazar Ramadan Satok terus menjadi pilihan utama pengunjung apabila tinjauan Bernama pada hari pertama Ramadan mendapati bazar itu sesak dengan pengunjung yang teruja mencari juadah berbuka.

Meskipun harga makanan naik antara RM1 hingga RM2, namun orang ramai tetap bersemangat memburu kuih-muih tradisional yang jarang ditemui di luar bulan puasa dan para peniaga juga peka dengan tahap kebersihan gerai masing-masing.

Di TAWAU, Sabah, bazar Ramadan Bataras, Batu 3 antara bazar yang menjadi tumpuan penduduk mencari juadah berbuka puasa dan rata-rata makanan yang menjadi pilihan ialah kuih-muih, bubur pisang hijau, burasak serta nasi kuning berlauk.

Di TERENGGANU tinjauan mendapati terdapat sedikit kenaikan harga makanan tahun ini berbanding tahun lepas disebabkan kenaikan harga barang mentah antaranya harga ayam pusing naik daripada RM26 seekor tahun lalu kepada RM28 seekor; ikan percik daripada RM8 seekor kepada RM10 seekor dan kuih-muih tradisional daripada RM3 satu pek kepada RM4 satu pek.

Di KELANTAN, seorang peniaga air balang di Bazar Taman Bendahara, Pengkalan Chepa Karimah Yusoff, 51, berkata beliau menjual hampir 20 jenis minuman antaranya air kelapa, epal, jagung, bandung, laici nanas madu, anggur dan teh ais pada harga RM4 sebungkus.

Beliau yang berniaga di bazar Ramadan berkenaan sejak lebih lima tahun lepas berkata walaupun berlaku sedikit kenaikan harga barang antara RM1 sehingga RM1.50 termasuk kordial serta susu pekat namun harga jualan masih lagi dikekalkan seperti tahun-tahun sebelum ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan