KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Malaysia terus mengorak langkah memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan dengan memperkenalkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 yang telah dimansuhkan pada 1992 perlu dikembalikan bagi memastikan Parlimen berfungsi secara bebas daripada cabang eksekutif serta melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan amalan negara maju.
“Demokrasi Malaysia kini dan masa hadapan memerlukan pemerkasaan institusi Parlimen. Justeru, RUU ini merupakan satu langkah penting dengan menetapkan satu perkhidmatan awam yang khusus iaitu menerusi Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP),” katanya ketika membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata MPP akan bertindak sebagai badan yang berkuasa penuh ke atas seluruh perkhidmatan Parlimen termasuk menyusun semula organisasi dengan menambah baik fungsi dan struktur perjawatan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran Parlimen berdasarkan Fasal 4 dan 5.
“Peruntukan dalam RUU ini turut menetapkan bahawa pengurusan perkhidmatan Parlimen akan merangkumi bantuan profesional seperti khidmat penggubalan undang-undang serta penyediaan penyelidik bagi ahli Parlimen, merangkumi kedua-dua barisan kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Bagi memastikan keanggotaan yang seimbang, Azalina berkata dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Dewan Rakyat, masing-masing dua daripada pihak kerajaan dan pembangkang, akan dipilih untuk menganggotai MPP.
Sementara itu, Azalina berkata melalui RUU itu juga kerajaan perlu menetapkan obligasi dalam menyalurkan dana mencukupi kepada kedua-dua dewan itu setiap tahun, selaras Fasal 12 di bawah RUU berkenaan.
“Parlimen kini mempunyai autonomi untuk kemukakan cadangan belanjawannya secara langsung kepada Kementerian Kewangan sebagai pemegang amanah kewangan tanpa memerlukan kelulusan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
RUU itu telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lepas.
Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.
RUU itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi Parlimen serta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial