AM

Pihak Mainkan Isu Kaum, Agama Perlu Dikenakan Tindakan Tegas

04/03/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Beberapa Ahli Dewan Negara hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang memainkan isu perkauman dan keagamaan sehingga memecahkan perpaduan di negara ini.

Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup jelas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat, namun pendekatan penguatkuasaan perlu diperkemaskan.

Salehuddin berkata ia bagi memastikan mereka yang berhasrat melakukan perbuatan itu tidak melakukannya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan Kementerian Perpaduan Negara melihat isu perpaduan daripada perspektif lebih jauh, antaranya membentuk perpaduan dalam kalangan remaja untuk memahami budaya antara satu sama lain.

“Apa kata kerajaan memasukkan semula silibus berkaitan perpaduan di peringkat sekolah dan segala program dan aktiviti yang menyatupadukan,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol turut mengingatkan agar figura politik dan rakyat menjaga diri daripada mengeluarkan kenyataan serta kelakuan yang boleh menyinggung perasaan sesuatu kaum di Malaysia.

Beliau berkata tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial sebagai satu perbuatan yang tidak boleh diterima.

“Ia adalah satu perkara yang tidak dapat diterima dan setiap rakyat sama ada figura politik mahupun rakyat perlu memperingati serta menjaga diri daripada membuat kenyataan menyinggung mana-mana kaum di negara ini,” katanya.

Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam pula menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia membuat siasatan rasmi berhubung kes itu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan agar insiden berkenaan tidak berulang.

“Walaupun permohonan maaf telah dibuat, tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan di sini sahaja,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan