KUCHING, 6 Mac (Bernama) -- Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) berhak melaporkan sebarang isu disiplin dan penyalahgunaan kuasa dalam jabatan masing-masing kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (Unions).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata ini memerlukan CeIO untuk lebih cakna sekiranya berlaku pelanggaran peraturan jabatan yang terkait dengan kes rasuah dan penyelewengan.
“Jangan kita fikir yang boleh melaporkan kes sebegini hanya orang awam sahaja, CeIO adalah pegawai yang paling tahu prosedur untuk jabatan masing-masing.
“Orang luar tidak begitu arif selok-belok prosedur yang dilanggar, jadi mana-mana CeIO yang mengetahui terdapat pelanggaran peraturan, sila maklumkan kepada kami,” katanya ketika berucap di Program Citra Diri Pegawai Integriti Bertauliah, di sini hari ini.
Beliau menyeru semua CeIO di Sarawak agar memainkan peranan masing-masing dalam memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam sebagai antara usaha mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digerakkan kerajaan negeri.
Juanda berkata setiap CeIO perlu bersifat berani dan melakukan siasatan ke atas pegawai yang terbukti mempunyai masalah disiplin dan salah tadbir.
“Kita perlu banyak input daripada CeIO mengenai isu sebegini yang wujud dalam jabatan dan kita mahukan setiap jawatan di Sarawak ini bersih dan ‘kilat’ apabila diaudit,“ katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial