AM

Penduduk Lawas Bakal Nikmati Bekalan Air Lebih Stabil

08/03/2025 06:45 PM

LAWAS, 8 Mac (Bernama) -- Penduduk Lawas bakal menikmati bekalan air lebih stabil dan meluas dengan pembinaan loji rawatan air baharu di Sungai Lawas Damit.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Long Tuma hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok, selain membuka peluang peluasan liputan ke Kampung Long Sukang dan kawasan sekitarnya melalui sistem agihan air.

Beliau berkata loji baharu itu akan melengkapkan peranan Loji Rawatan Air Trusan yang kini menjadi sumber utama bekalan air di daerah berkenaan.

“Loji baharu ini akan membantu meningkatkan kapasiti bekalan air seiring dengan pembangunan infrastruktur, khususnya jalan raya. Dengan peruntukan yang diterima dan kajian teknikal dijalankan kami menjangkakan projek ini dapat dimulakan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik SPK Trusan, Lawas hari ini.

Beliau berkata loji tersebut akan dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana sekali gus memperkukuhkan keupayaan kerajaan dalam memastikan akses air bersih yang lebih baik kepada masyarakat.

Awang Tengah turut mengumumkan pembangunan semula pekan Trusan untuk menjadikan ia destinasi persinggahan utama di utara Sarawak.

“Sebagai langkah menyokong pembangunan di kawasan itu sebuah jambatan baharu akan dibina bagi meningkatkan akses dan melancarkan pergerakan penduduk serta peniaga.

“Pelbagai kemudahan baharu juga akan disediakan termasuk premis perniagaan moden, pasar dan kawasan perdagangan lebih teratur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

Beliau menambah identiti dan keunikan asal Trusan akan dikekalkan dalam pembangunan menjadikan ia sebuah bandar moden bukan hanya sebagai pusat ekonomi malah tarikan baharu kepada pelancong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan