AM

150,000 Pelawat Dijangka Berkunjung Ke Jambatan Angkat Tahun Ini

10/03/2025 11:42 AM

KUALA TERENGGANU, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyasarkan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat tahun ini, didorong oleh pelbagai program yang dirancang serta pemerkasaan kerjasama dengan penggiat pelancongan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan penganjuran pelbagai program sepanjang tahun ini dan usaha memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri pelancongan.

Beliau yang juga Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) berkata, sejak mula beroperasi pada 2019, Jambatan Angkat yang dibina dengan kos RM249 juta telah menerima 595,579 pelawat dari dalam dan luar negara.

"Keunikan Jambatan Angkat menjadikannya penerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, termasuk Best New Tourism Icon 2019 dan Malaysia Tourism Quality Assurance (Gold Award) 2023.

"Jambatan ini juga didaftarkan di bawah Green Energy Tariff dan menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation. Dengan pencapaian ini, Jambatan Angkat bakal menjadi jambatan pertama di dunia yang beroperasi menggunakan 98 peratus tenaga solar pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd di sini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal berkata kos pengoperasian dan penyelenggaraan Jambatan Angkat bagi tempoh 2019 hingga Disember 2024 telah mencecah RM11.75 juta.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran pengoperasian dan pengurusan jambatan ikonik itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Operasi Drawbridge menetapkan had muatan berat lima tan ke bawah dengan kelajuan maksimum 30 kilometer sejam.

"Kita akan memasang 20 papan tanda di sekitar kawasan, selain memasang palang ketinggian dan penyediaan garisan kuning sebagai kawalan had laju kenderaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan