AM

Lesen Maestra Broadcast Tidak Digantung Namun Dikenakan Kompaun RM250,000 - MCMC

11/03/2025 05:03 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd namun pengendali stesen radio Era FM itu dikenakan kompaun RM250,000.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan kompaun itu, yang dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara, adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025) iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

Menurut kenyataan itu, MCMC menerima rayuan daripada Maestra Broadcast berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac lepas.

"Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast. 

"Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama," katanya.

Kenyataan itu menyebut MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

"Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara," katanya.

Pada 4 Mac lepas, tiga pengacara radio Era FM memohon maaf berhubung video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video itu, yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit, memaparkan aksi seorang daripada mereka meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.

Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana secara terang-terangan mempersenda tradisi penganut agama lain. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan