ARAU, 11 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah inisiatif ‘Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Beyond 2030’ memerlukan perbincangan inklusif melibatkan pengurusan utama universiti termasuk yang sebelum ini bagi memperkukuhkan kedudukan sebagai institusi unggul di peringkat antarabangsa sekali gus mendepani cabaran 10 hingga 20 tahun akan datang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah bersedia bersedia menawarkan diri baginda sebagai sebahagian daripada ahli perbincangan berkenaan bagi menilai pencapaian lepas dan semasa serta merangka hala tuju masa hadapan.
"Saya percaya UniMAP perlu mengalami lonjakan yang berterusan dan mempunyai hala tuju yang jelas melalui inisiatif UniMAP Beyond 2030. Inisiatif ini memerlukan perbincangan yang menyeluruh melibatkan pengurusan utama universiti, baik yang sebelum ini mahupun yang sekarang demi kemajuan universiti yang kita sayangi ini.
"Sebagai seseorang yang telah bersama UniMAP sejak era KUKUM (Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia), saya yakin pengalaman pengurusan terdahulu dapat menjadi rujukan sangat berharga, sementara kepimpinan baharu pula akan membawa idea segar yang sejajar dengan perubahan global," titah baginda ketika berkenan merasmikan Majlis Iftar @ UniMAP di sini hari ini.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merupakan Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah aspek penting yang perlu diberi perhatian untuk usaha itu seperti kedudukan UniMAP dalam ‘The Higher Education (THE) World University Rankings’ dan ‘The QS World University Rankings’ serta petunjuk prestasi utama yang menjadi penanda aras kecemerlangan universiti.
"Perbincangan yang inklusif ini, insya-Allah akan mampu memastikan strategi akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan kolaborasi industri dapat dilaksanakan dengan efektif," titah baginda.
Sementara itu, 361 pelajar UniMAP menerima zakat daripada MAIPs berjumlah RM300 setiap seorang sempena majlis tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial