AM

Ketekunan, Kerja Keras Anwar Bawa Perubahan Cepat Kepada Negara - Amirudin

24/12/2024 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Ketekunan dan kerja keras Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak memimpin Kerajaan Perpaduan dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 telah berjaya membawa perubahan yang cepat dan nyata dalam pentadbirannya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Anwar sangat komited dalam usaha meningkatkan prestasi ekonomi dan pada masa sama mengekalkan kestabilan politik negara.

Beliau berkata Anwar merupakan Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan dengan gabungan terbesar dalam sejarah politik Malaysia melibatkan lebih 18 parti ketika ini.

“Saya lihat usaha, kesungguhan ditonjolkan oleh Anwar (memimpin negara) itu tidak boleh dilawan. Anwar adalah seorang ahli politik yang tekun dan bekerja keras, dan itu terbukti dengan usaha beliau yang berjaya membawa perubahan yang cepat dan nyata dalam pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Sembang Malam bertajuk Dua Tahun Kerajaan Perpaduan Pimpinan Anwar Ibrahim terbitan Selangor TV yang disiarkan di Facebook dan YouTube malam tadi.

Program dihoskan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar itu turut menampilkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar sebagai tetamu.

Selain itu, Amirudin berpendapat Anwar memikul beban berat berikutan tumpuan sentiasa diberikan kepadanya yang membawa imej Kerajaan Perpaduan, sekali gus turut menjadi figura sasaran pelbagai pihak.

Senada dengan Amirudin, Fahmi berkata pelbagai perubahan telah dibawa oleh Perdana Menteri sepanjang dua tahun menerajui Kerajaan Perpaduan antaranya dari segi ekonomi dan pelaburan asing serta pentadbiran kerajaan dan usaha melawan rasuah.

Bagaimanapun, beliau berkata fakta berkenaan bercampur aduk dengan berita palsu dan fitnah yang disebarkan terutamanya melalui media sosial hingga mengakibatkan persepsi negatif terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat dalam filem, penonton biasanya tengok pelakon utama, tak tengok pelakon pembantu atau orang belakang (tabir) walaupun filem itu adalah usaha bersama semua,” katanya sambil menambah menteri Kabinet dan Ahli Parlimen kerajaan juga perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan.

Fahmi turut memetik buku tulisan seorang pakar University of Cambridge, Sander van der Linden, bertajuk Foolproof menyatakan masalah paling besar yang mengganggu gugat demokrasi di seluruh dunia sekarang ialah berita palsu.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai perancangan yang diumumkan Kerajaan Perpaduan telah membuahkan hasil dari segi statistik dan beliau yakin dalam tempoh dua tahun akan datang, lebih banyak limpahan ekonomi akan dinikmati oleh rakyat.

“Bagi kerajaan, sudah pasti kita perlu beri keyakinan kepada pelabur, limpahan ekonomi kepada rakyat, memperbetulkan bukan hanya cara kita berkomunikasi serta mengajak rakyat untuk memberi pertimbangan (sewajarnya),” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan