AM

Sultan Pahang Berkenan Rasmi Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana

28/12/2024 08:31 PM

KUANTAN, 28 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) negeri Pahang sekali gus melakar sejarah pasukan pertama seumpamanya di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah bertitah penubuhan pasukan itu dekat dengan hati baginda kerana merupakan cetusan idea Istana Pahang dengan membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam merealisasikan matlamat kewujudan PKKI. 

Baginda berharap penubuhan pasukan itu dapat melatih petugas dan keluarga di Istana Pahang untuk sentiasa siap siaga dalam menghadapi sebarang tragedi selain membantu golongan memerlukan. 

 “Saya berharap seluruh anggota petugas Istana akan sentiasa memainkan peranan untuk cuba membantu jiran ataupun kaum keluarga yang berhampiran dengan kita walau di mana sekali pun untuk jadi pasukan hadapan apabila (berlakunya) tragedi (seperti) kebakaran atau banjir dan lain-lain.

”Saya amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan anggota bomba … (membantu, menyelamat masyarakat) dan saya boleh anggap pasukan bomba benar-benar frontliner dalam erti kata sebenar,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada majlis pelancaran pasukan itu di Ibu Pejabat JPBM Pahang di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM negeri Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa. 

Bginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Plak Menghapus Bahaya sebelum menyaksikan demonstrasi oleh PKKI dengan kerjasama bomba.

PKKI negeri Pahang yang setakat ini mempunyai 48 anggota itu dinaungi Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat yang juga Setiausaha Sulit Khas Sultan Pahang Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Abdul Murad. 

Sementara itu, Nor Hisham berkata inisiatif penubuhan PKKI adalah susulan titah Sultan Pahang untuk mengambil langkah siap siaga dalam memastikan kebakaran di istana dapat ditangani dengan lebih baik dan segera.

“Kita sedia maklum, istana mempunyai banyak bahan bersejarah dan benda-benda yang penting dan semuanya ini tidak dapat digantikan sekiranya berlaku kebakaran,”katanya sambil menambah akan berkongsi matlamat penubuhan pasukan itu ke istana lain di seluruh negara. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 9,510 notis telah dikeluarkan kepada 1,260 bangunan atau 13 peratus daripada 18,439 bangunan yang diperiksa sepanjang tahun ini. 

Beliau berkata selepas notis dikeluarkan didapati pematuhan sangat baik apabila hanya 94 daripada  9,510 notis tidak dipatuhi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan