PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.
Wong yang tiba semalam untuk lawatan rasmi ke Malaysia, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada pukul 9.50 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mej Arifuddin Mohd Yusuf.
Majlis itu turut dihadiri oleh isteri beliau, Loo Tze Lui, serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing, dan pegawai kanan kerajaan.
Wong, kemudian menandatangani buku pelawat sebelum menyertai Anwar dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11.
Sesi Pemukiman tahunan ini, yang menjadi tonggak hubungan Malaysia-Singapura sejak diperkenalkan pada 2007, merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara kedua-dua negara.
Ia dianjurkan secara bergilir-gilir oleh kedua-dua negara dan berperanan sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama, menetapkan keutamaan strategik, serta meneroka inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM360.12 bilion (US$78.59 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial