AM

Anwar Anjur Majlis Makan Tengah Hari Raikan Perdana Menteri Jepun

10/01/2025 01:01 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawatannya dari Jepun Shigeru Ishiba di Seri Perdana di sini.

Ishiba, isterinya Yoshiko dan delegasi delegasi Jepun yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri pada pukul 11.50 pagi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, Ishiba menerima sambutan rasmi di Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Hubungan Malaysia dengan Jepun telah bertambah kukuh dengan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Jepun merupakan rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan yang melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.

Projek-projek ini mewakili pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion) dan telah mewujudkan 344,996 peluang pekerjaan.

Jepun adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM156.75 bilion (US$34.41 bilion) pada tahun 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan