SUKAN

PABM Tekad Pastikan Sukan Angkat Berat Kekal Bebas Isu Doping

10/01/2025 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sentiasa komited dalam memastikan atlet negara kekal bebas daripada isu doping, sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sukan berkenaan. 

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata pemeriksaan mengejut yang dilakukan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) adalah antara inisiatif berterusan persekutuan itu bagi memastikan insiden doping tidak berulang.

“Kita bersyukur kerana dah bebas (daripada isu doping), sebab itu antara kebimbangan saya dan PABM. Jadi kita memang cukup bertegas tentang perkara ini. Kita tidak mahu masalah doping berlaku lagi dan sekarang ini memang secara berterusan ada kerjasama dengan ADAMAS, dan dalam setiap kejohanan kebangsaan ada taklimat. 

“Kemudian kita minta supaya pihak ADAMAS melakukan pemeriksaan berkala dan juga pemeriksaan mengejut. Maksudnya, atlet perlu siap sedia dan bila-bila masa ADAMAS boleh melakukan pemeriksaan. Jadi itu antara yang kita lakukan untuk mengelak masalah doping daripada berlaku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Sukan angkat berat sebelum ini sering dipalit dengan isu doping, dan antara atlet negara yang pernah dikenakan tindakan kerana kesalahan doping pada tahun 2021 adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 iaitu Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari.

Selain itu, arena sukan negara menerima tamparan hebat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur apabila lima atlet angkat berat terjerat isu doping, dengan tiga daripadanya menggunakan bahan terlarang metandienone, terbutaline dan oxymetholone

Dua pemenang pingat pula disahkan positif bahan terlarang jenis anabolic androgenic steroids

Ayub bagaimanapun dilaporkan berkata sukan angkat berat telah merekodkan sifar isu doping sejak dua tahun lepas (2023 dan 2024).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan