AM

Sasar Tanam 2.2 Juta Pokok Di Kedah Dalam Tempoh Lima Tahun

21/01/2025 04:39 PM

KUALA NERANG, 21 Jan (Bernama) -- Sebanyak 2.2 juta pokok pelbagai spesies akan ditanam di Kedah menjelang 2030 sebagai usaha memelihara kehijauan alam sekitar negeri ini.

Naib Presiden I Pertubuhan Jemaah Datuk Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Projek 2 Juta Datuk Bakar Din berkata jumlah itu mewakili bilangan rakyat negeri ini, bersamaan satu pokok bagi seorang penduduk. 

"Tercetusnya idea ini hasil kesedaran daripada titah Tuanku Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu penduduk negeri ini mengekalkan kelestarian alam sekitar.

"Kita dapati banyak kawasan hutan diceroboh, pokok dah banyak dimusnahkan, ditebang dan dicuri. Ada pokok termasuk di hutan bakau ditanam pihak berkuasa tempatan tetapi belum capai tahap memuaskan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek 2 Juta Program Penanaman Pokok di sini hari ini.

Sultan Sallehuddin berkenan berangkat merasmikan majlis berkenaan yang berlangsung di Kompartmen 42 Hutan Simpan Pedu.

Bakar berkata pihaknya mengambil inisiatif menggembleng usaha bagi memulihkan kelestarian alam sekitar supaya Kedah menjadi negeri hijau dan sempurna untuk diwarisi generasi akan datang.

"Penumpuan diberikan kepada kawasan hutan seperti di Hutan Simpan Pedu ini. Kita akan tanam balik dengan pokok-pokok hutan diselang-seli dengan tanaman pokok nadir.

"Selain kawasan hutan, kita turut tumpukan penanaman pokok di kawasan bandar serta hutan paya bakau seperti di Sungai Merbok dan Sungai Kedah bagi menghalang hakisan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) Muhamad Abdullah berkata sebanyak 250 pokok buah-buahan hutan spesies nadir yang terdiri daripada 17 spesies akan ditanam bagi membantu mempercepatkan proses penghijauan kawasan Hutan Simpan Pedu.

"Pokok yang ditanam hari ini terdiri daripada tampoi, sentul, asam gelugur, kembang semangkuk, gajus, terap, nangka, durian, rambutan, mata pelanduk, kandis, tulang daim, manggis, rambai hutan, mertajam, berangan dan kundang.

"Kesemua spesies itu dipilih kerana ia tumbuh dengan cepat dan buahnya menjadi makanan kepada hidupan liar selain akan membantu untuk penyebaran biji benih,” katanya.

Lebih 300 peserta menanam pelbagai spesies pokok sempena majlis pelancaran hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan