JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Individu Mengaku Tidak Bersalah Culik Kanak-kanak Perempuan

21/01/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan dua tahun, awal bulan ini.

Pekerja kilang D R. Thevagaran dan dua pengganggur M. Haris dan V. Durga Nanthini yang kesemuanya berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik kanak-kanak berkenaan daripada penjaganya yang sah di tepi Jalan Pandan Indah 1/1, Taman Maju Jaya, di bawah jejambat E9, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 6.30 petang, 4 Jan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala peguam Lingswaran Singh mewakili Thevagaran dan Haris. Durga Nanthini pula diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ernie Ahmad.

Terdahulu Nadiah tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin, namun Lingswaran dan Ernie memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Normaizan Rahim menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan