AM

Tahun Baharu Cina: JPJ Jangka 500,000 Kenderaan Masuk Negeri Sembilan

22/01/2025 08:26 PM

SEREMBAN, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menjangkakan 500,000 kenderaan akan memasuki negeri itu sepanjang pelaksanaan operasi khas bersempena dengan perayan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini. 

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata cuti 202 pegawai dan anggota JPJ di negeri itu dibekukan sepanjang tempoh operasi yang bermula semalam hingga 9 Feb ini bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang jalan raya. 

"Antara pendekatan dan strategi yang diambil ialah meningkatkan rondaan terutamanya di kawasan blackspot atau kawasan kerap berlaku kemalangan. 

"Unit Dron JPJ negeri juga diatur gerak dengan tumpuan diberikan kepada sembilan kesalahan utama antaranya memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan," katanya. 

Hanif Yusabra berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pelancaran Op Tahun Baharu Cina 2025 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di sini hari ini.

Sepanjang operasi khas itu, beliau berkata JPJ Negeri Sembilan menambah bilangan anggota yang menyamar sebagai penumpang bas kepada 30 orang berbanding 10 pada operasi sebelum ini. 

"JPJ akan memastikan setiap bas dengan perjalanan melebihi 300 kilometer (km) mempunyai dua pemandu dan turut menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap kenderaan serta kesihatan pemandu," katanya.

Ketiadaan pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300 km antara kesalahan dikesan JPJ pada pemeriksaan semalam, selain kesalahan menggunakan telefon bimbit dan merokok semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan dan tidak memberi lampu isyarat semasa menukar lorong.

Berhubung kawasan blackspot kemalangan, Hanif Yusabra berkata antara lokasi itu ialah Jalan Port Dickson-Lubuk China, Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang (Jelebu) dan Kuala Pilah-Jalan Seremban. 

Selain itu, 19 lokasi lagi dikenal pasti sebagai lokasi kesesakan lalu lintas melibatkan enam lokasi di Seremban, Port Dickson (tiga), Nilai (tiga), Tampin (dua), Rembau (dua) dan masing-masing satu di Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan