PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Pemahaman rakyat tentang manfaat MyDigital ID perlu dipertingkat memandangkan sistem itu bukan sahaja memudahkan para pengguna malah menjimatkan perbelanjaan kerajaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata status terkini pelaksanaan MyDigital ID akan diketahui dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) dijangka diadakan 12 Feb ini.
"Memang terdapat dua isu utama. Pertama ialah tentang meningkatkan pemahaman awam mengenai manfaat sistem log masuk tunggal seperti MyDigital ID, dan keduanya, menggalakkan agensi yang membangunkan aplikasi untuk memanfaatkan sistem log masuk tunggal ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Turut hadir, timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata hasrat kerajaan melalui MyDigital ID adalah untuk membolehkan rakyat menggunakan satu log masuk untuk semua aplikasi kerajaan, supaya mereka tidak perlu memasukkan maklumat peribadi atau membuka akaun baru apabila mengakses platform kerajaan seperti MyJPJ, LHDN, dan lain-lain.
"Ini dapat memudahkan para pengguna dan menjimatkan bagi pihak kerajaan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim katanya, telah meminta agar pelaksanaan MyDigital ID dipercepat memandangkan beliau tidak berpuas hati tentang pencapaian dan prestasi pelaksanaan MyDigital ID yang telah dibentang pada MED4IR yang terakhir.
"Jadi saya lihat perancangan yang lebih rapi perlu dilaksana dan saya percaya banyak manfaat kepada program MyDigital ID ini dan kita harap ia dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
MyDigital ID merupakan satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti yang selamat dan sah untuk pengguna dalam talian dan wadah pengesahan pengenalan diri secara digital untuk keselamatan dan kecekapan urusan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial