MELAKA, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menganjurkan Jualan Rahmah MADANI sempena Tahun Baharu Cina di 57 lokasi termasuk pasar raya tempatan di seluruh negeri selama empat hari bermula hari ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata menerusi jualan berkenaan, pengguna khususnya masyarakat Tionghua berpeluang membeli barangan keperluan sebagai persiapan Tahun Baharu Cina dengan harga potongan harga sehingga 30 peratus.
"Jualan Rahmah MADANI ini dianjurkan secara bergerak iaitu di lokasi tumpuan orang ramai seperti di Kompleks Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) mengikut Dewan Undangan Negeri masing-masing selain di tapak pasar malam, padang, balai raya dan perkarangan masjid.
"Kita anjurkan jualan ini di semua enam parlimen di Melaka agar dapat memberi manfaat bukan kepada masyarakat Tionghua tetapi juga penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Seah berkata bagi memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan asas yang ditawarkan pada Jualan Rahmah MADANI, mereka boleh mendapatkan maklumat berkaitan lokasi penganjuran program itu di Facebook rasmi KPDN Melaka.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN Melaka juga menganjurkan Jualan Rahmah MADANI 'Back to School' di empat premis pasar raya di negeri itu bermula 30 Jan hingga 2 Feb ini.
"Menerusi jualan kembali ke sekolah itu, pelbagai jenis pakaian seragam sekolah termasuk pakaian kokurikulum, kasut sekolah, kelengkapan alat tulis dan beg sekolah ditawarkan pada harga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial