AM

Malaysia Negara Pertama Saksikan Perjanjian Perkongsian Rangkaian 4G 6 Hala

28/01/2025 01:28 AM

KUALA PILAH, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia merupakan negara pertama menyaksikan perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perjanjian itu telah dimeterai pada Mei tahun lepas dan ia telah mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi (telco) perlu membangunkan infrastruktur yang membolehkan mereka bekerjasama.

Fahmi berkata hari ini, konsep tersebut berjaya dibuktikan menerusi kejayaan projek MOCN 4G 6 Hala diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu menerusi projek perintis industri dalam usaha berkongsi sumber rangkaian dan infrastruktur.

“Saya melontarkan cabaran kepada MCMC dan semua rakan-rakan telco, yang akhirnya pada Mei tahun lepas di Kuala Kubu Bharu, rakan-rakan telco telah menandatangi satu perjanjian persefahaman untuk mengusahakan satu perjanjian atau usahasama membolehkan apa yang dipanggil MOCN 4G 6 Hala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur MOCN 4G 6 Hala dan perasmian Menara Telekomunikasi di Jalan Bukit Putus, di sini hari ini.

Fahmi berkata pelaksanaan itu bertujuan bagi meningkatkan kesalinghubungan terutamanya melibatkan kawasan kurang liputan Internet.

“Terima kasih kepada rakan-rakan telco, Celcom, DIGI, Maxis, U Mobile, TM dan YTL Communications, saya difahamkan setakat ini belum ada negara di dunia yang syarikat bersaing sesama mereka mewujudkan satu kerangka yang membolehkan mereka berkerjasama seperti ini.

“Malaysia merupakan negara pertama di dunia membolehkan semua syarikat telco melaksanakan cara sedemikian. Projek ini membuktikan syarikat telco boleh berkerjasama...usaha ini dapat membantu kawasan luar bandar, terpencil mendapat akses Internet yang baik dan meningkatkan kesalinghubungan,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan dan Ketua Pegawai Hal-Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.

Lima lokasi MOCN 4G 6 Hala ialah di Ikon Tengkolok, Bukit Putus dan Kem Pengakap, Bukit Putus, Negeri Sembilan, Prima Gambang (Pahang), Plaza Tol Kota Seri Langat West Coast Expressway (WCE), Banting (Selangor) dan Tanjung Asam (Pulau Pinang).

Fahmi berkata usaha itu juga membuktikan syarikat telekomunikasi di negara ini boleh berkerjasama bagi membantu masyarakat mendapat akses Internet lebih baik terutamanya di kawasan terpencil.

“Saya percaya usaha ini akan memudah cara syarikat telco berkerjasama dengan lebih erat, saya harap isu dihadapi pengguna dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Fahmi juga mahu setiap pihak meningkatkan ikhtiar bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kesan negatif penggunaan sosial media terhadap kanak-kanak, serta berhati-hati dengan penipuan terutamanya kepada golongan dewasa.

Dalam pada itu, MCMC dalam kenyataan menjelaskan MOCN menetapkan prinsip, proses dan panduan bagi pelaksanaan Perkongsian Infrastruktur Rangkaian oleh Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) bagi menggalakkan kerjasama, mengoptimumkan sumber serta meningkatkan kesalinghubungan khususnya di tujuh kawasan yang mendapat liputan kurang memuaskan.

Ia merangkumi lebuh raya, universiti awam, hospital, kawasan acara, kawasan pelancongan, stadium, dan penempatan tentera serta polis.

Menurut kenyataan itu MOCN tertumpu kepada dua metodologi utama, iaitu Perkongsian Infrastruktur Pasif yang melibatkan perkongsian komponen fizikal seperti menara dan tiang, tanpa melibatkan komponen elektronik atau rangkaian.

“Di bawah Perkongsian Infrastruktur Aktif pula, ia merujuk kepada perkongsian komponen elektronik dan pemprosesan isyarat dalam rangkaian, yang secara aktif memproses dan menghantar isyarat serta membolehkan penggunaan sumber rangkaian yang lebih cekap,” menurut kenyataan itu.

Garis panduan tersebut menyediakan penyelesaian praktikal untuk membantu MNO memaksimumkan manfaat perkongsian infrastruktur demi kepentingan rakyat. Pendekatan bersepadu ini meningkatkan kecekapan operasi MNO dan mempercepat penyampaian perkhidmatan 4G berkualiti tinggi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan