Memiliki kediaman sendiri menjadi impian hampir kebanyakan kita, justeru bayangkan kehampaan yang dirasai apabila rumah yang dibeli lambat siap ataupun siap namun penuh kecacatan dan perlu dibaik pulih.
Isu-isu sebegini masih membelenggu industri pembinaan negara, khususnya melibatkan projek perumahan, dan seakan sukar untuk dinoktahkan.
Realitinya, pakar berpendapat penggunaan teknologi imersif, iaitu satu bentuk teknologi digital yang merangkumi antaranya realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan realiti campuran (MR) dapat menangani permasalahan tersebut.
Malah, kata mereka, penggunaan teknologi imersif sebagai pelengkap kepada Building Information Modelling (BIM) yang kini digunakan oleh sesetengah syarikat pemaju di negara ini, mampu memberi perubahan besar kepada industri pembinaan negara, khususnya dari segi kos, kualiti, produktiviti dan juga keselamatan.
Bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam industri, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya menerusi Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025), namun hingga kini amalan itu belum meluas dalam kalangan pemain industri.
UBAH CARA KERJA
Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim menjelaskan teknologi imersif sebagai teknologi yang mewujudkan pengalaman interaktif dengan menggabungkan elemen dunia nyata dan maya dalam persekitaran digital.
pic-2
“Penggunaan teknologi imersif dalam keseluruhan kitaran sesebuah projek, bermula dari reka bentuk hingga visualisasi keseluruhan projek siap, dapat mengenal pasti pelbagai masalah yang mungkin timbul sepanjang perjalanan projek atau selepas projek siap,” katanya kepada Bernama.
Mengambil contoh VR dan AR, beliau berkata menerusi teknologi itu, idea diterjemahkan ke dalam bentuk maya, membolehkan pihak berkepentingan meneliti kecacatan reka bentuk dan sebagainya.
“Misalnya, VR dan AR membantu dalam memberi idea berkaitan struktur binaan atau reka bentuk bangunan yang kita inginkan.
“Sekiranya menggunakan cara manual atau konvensional, masalah mungkin timbul akibat kesilapan reka bentuk. Penggunaan teknologi ini akan membantu mewujudkan simulasi atau imej bangunan seakan bangunan sebenar, jadi kita boleh semak atau teliti dahulu bentuk bangunan atau strukturnya bagi mengelakkan berlakunya kesilapan,’’ katanya.
“Dari situ banyak keputusan berkenaan projek pembangunan itu dapat dicapai dengan cepat sebelum projek sebenar dilaksanakan,” katanya, menambah secara tidak langsung mempercepat proses membuat keputusan kerana semua pihak boleh memahami perjalanan projek dengan lebih baik melalui paparan visualisasi atau elemen tiga dimensi.
LIMPAHAN IMPAK POSITIF
Mengulas lanjut, Mohd Hilmi Izwan berkata apabila teknologi imersif digunakan secara meluas, impak positif turut dinikmati oleh komuniti setempat sebagai hasil daripada pembangunan yang lestari.
Beliau berkata selain itu, apabila teknologi imersif digunakan secara meluas, ia bukan sahaja mempercepatkan proses transformasi industri pembinaan, bahkan menjadikan projek pembangunan itu lebih inklusif dan berkualiti.
Justeru itu, komuniti akan dapat menikmati hasil pembangunan yang lebih efisien, selamat, mesra pengguna dan mesra alam sekitar, sekali gus mewujudkan masa depan yang lebih mampan.
‘’Dalam elemen hubungan komuniti, teknologi imersif berupaya menghasilkan simulasi reka bentuk bandar yang lebih baik, memastikan kemudahan awam seperti taman, jalan raya dan bangunan dapat dirancang secara efisien sesuai dengan keperluan masyarakat.
pic-3
“Dalam revolusi teknologi ini, ia akan menggambarkan keseluruhan pembangunan itu. Di sini kita dapat menumpukan pada kecekapan tenaga, pemuliharaan sumber dan menggalakkan persekitaran hidup yang sihat.
“Keadaan ini termasuk mengambil kira keperluan penghuni atau komuniti seperti pencahayaan semula jadi dalam kawasan bangunan, ruang awam yang mewujudkan interaksi sosial, reka bentuk bangunan yang lebih selesa dan berdaya huni, terutamanya bagi warga emas dan kanak-kanak,’’ katanya.
Tambahnya, teknologi imersif turut berupaya menghasilkan reka bentuk bandar yang lebih baik dan terancang, terutamanya dari segi infrastuktur dan kemudahan awam.
“Di sini, pemain industri boleh merancang pembinaan bangunan yang lebih teratur selain memastikan sesebuah bandar itu seimbang dari segi pembangunan dan persekitaran, sekali gus memenuhi keperluan komuniti setempat,’’ katanya.
BELUM MELUAS
Sementara itu, menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar UTHM Prof Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom, laporan CIDB mendapati, di sebalik pelbagai galakan dan insentif, penggunaan teknologi digital khususnya teknologi imersif masih belum meluas.
Katanya, menerusi Pelan Strategik Pembinaan 4.0, CIDB mahu memperkenalkan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi imersif dalam sektor pembinaan, selari dengan visi kerajaan untuk mempertingkat daya saing industri melalui penggunaan teknologi terkini.
“Bagaimanapun kajian dan tinjauan yang dijalankan CIDB mendapati kesedaran tentang teknologi imersif dalam kalangan syarikat pembinaan Malaysia masih pada tahap sederhana.
“Berdasarkan laporan Construction Industry Transformation Programme (CITP) 2016-2020 , meskipun banyak syarikat telah mula menggunakan teknologi digital itu seperti BIM, penerapan teknologi imersif masih belum meluas di negara ini,” katanya.
Malah kata beliau, penggunaan BIM juga belum mencapai tahap memuaskan kerana setakat 2020, hanya 13.5 peratus syarikat pembinaan aktif menggunakan BIM yang turut mempunyai unsur-unsur teknologi imersif.
“Angka ini menunjukkan bahawa, walaupun terdapat peningkatan kesedaran mengenai teknologi digital seperti itu, penerapan teknologi imersif sepenuhnya seperti VR dan AR masih di tahap awal, sekali gus memperlihatkan tahap kesediaan pemain industri pembinaan Malaysia dalam menerima guna teknologi imersif ini,’’ katanya.
pic-4
Sebelum ini, CIDB dalam satu kenyataan, berkata Malaysia menduduki tempat kedua dalam menerima pakai teknologi digital dalam kalangan enam negara yang ditinjau di seluruh rantau Asia Pasifik, termasuk Jepun, Singapura dan Australia, menerusi laporan State of Digital Adoption in the Construction Industry 2024 oleh Autodesk dan Deloitte.
CIDB berkata perkara itu sejajar dengan tumpuan negara dalam mengintegrasikan teknologi canggih dalam amalan pembinaan konvensional.
Namun laporan itu turut menyebut hanya 23 peratus daripada belanjawan firma pembinaan di Malaysia diperuntukkan bagi pelaksanaan teknologi baharu.
KEKANGAN
Mengulas lanjut, Md Asrul Nasid melihat kos peralatan yang tinggi serta kurangnya tenaga kerja mahir dalam bidang itu sebagai antara faktor penyebab teknologi imersif tidak digunakan secara meluas dalam industri pembinaan di Malaysia.
Beliau berkata hal itu meluas dalam kalangan syarikat pembinaan kecil dan sederhana yang berdepan ketidakupayaan dari segi kewangan serta kekangan ilmu dan kemahiran digital.
Situasi ini seterusnya menghalang mereka daripada mengintegrasikan teknologi seperti VR dan AR dalam kerja-kerja pembinaan.
“Usaha memperkasa teknologi imersif bukan hanya berbangkit di Malaysia, malah di luar negara. Ketika ini University of Melbourne (Australia) dan Cambridge University (England) turut membuat penyelidikan berteraskan teknologi imersif ini, selain menyediakan pendidikan khusus dan bekerjasama dengan pihak industri bagi memperkasakan lagi penggunaannya.
“Di Malaysia pula, sektor swasta dan awam termasuk agensi berkaitan pembinaan dan teknologi, boleh mengadakan kerjasama dalam membina platform dan ekosistem yang baik bagi membangunkan teknologi ini,’’ katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui pihak kerajaan telah mula mengambil langkah menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam industri itu dengan memberikan insentif seperti geran kepada syarikat yang melabur dalam pembangunan teknologi digital termasuk teknologi imersif.
“Dalam dunia yang semakin canggih dan pantas, keupayaan teknologi imersif menyediakan pengalaman interaktif dan realistik telah menjadi satu kekuatan terbesar dalam merevolusikan industri pembinaan. Namun, usaha ini hanya akan menjadi angan-angan jika tiada kesepakatan bersama antara mereka yang terlibat dalam bidang ini,” tegas beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial