AM

MOT Umum Syarikat Baharu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor Esok

06/02/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) yang baharu esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata perkembangan terkini ini susulan keputusan kerajaan yang memutuskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi menjadi badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak tahun lepas.

“Kita mengharapkan apabila kita membuka pasaran ini, adanya persaingan dari segi perkhidmatan, ia akan meningkatkan mutu pemeriksaan kenderaan supaya kita sama-sama pastikan integriti pemeriksaan kenderaan ini akan dapat ditingkatkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin mengetahui sejauh mana amalan monopoli yang dibiarkan kepada satu syarikat sejak 1994 telah menyebabkan kewujudan sindiket yang bersekongkol untuk meluluskan kenderaan yang tidak selamat.

Terdahulu, Loke berkata proses penilaian terhadap permohonan yang dikemukakan telah selesai melibatkan semakan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keupayaan kewangan serta melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan. 

Beliau berkata ketika ini, Puspakom tidak lagi memiliki konsesi sebaliknya hanya lesen untuk beroperasi bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan motor. 

“Saya tidak mahu menyimpulkan bahawa sindiket atau isu rasuah ini berhubung kait dengan dasar monopoli. Tetapi secara umumnya, kita rasa bahawa kalau sesuatu industri itu ada unsur monopoli, ia kadang kala akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Itu sebabnya kita menggalakkan ada persaingan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan