AM

OKU Kutip Makanan Tamat Tempoh Tampung Hidup Lima Beranak

06/02/2025 07:59 PM

KUALA NERUS, 6 Feb (Bernama) -- Kesusahan hidup memaksa seorang lelaki kurang upaya (OKU) memberi makanan tamat tempoh kepada keluarganya bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Jani Yusof, 62, dari Kampung Darat, Batu Rakit di sini berkata setiap hari, dia dan isterinya, Maznah Abu Bakar, 43, akan keluar mencari makanan atau barangan yang dibuang sekitar tong sampah berhampiran pasar raya untuk menyara tiga anaknya yang berusia dua hingga lapan tahun.

Dia yang cacat kaki kanan sejak lahir berkata hasil jualan barangan terbuang seperti botol, besi buruk dan plastik yang dikutip kira-kira RM200 sebulan tidak mampu menampung perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk dua anak yang bersekolah.

"Untuk makanan, saya tak sanggup ambil sisa dalam tong sampah kerana nampak jelas sudah tercemar. Jadi saya kutip makanan tamat tempoh kerana ia masih berbalut dalam plastik dan tidak bercampur dengan sampah lain.

"Kalau ikutkan memang tak sampai hati nak bagi anak isteri makan makanan yang dibuang, tetapi bila difikirkan, ia lebih baik daripada kebuluran," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Darat, Batu Rakit, di sini hari ini.

Jani berkata walaupun menerima bantuan sara diri sebanyak RM4,000 setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), jumlah tersebut tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup dan persekolahan yang tinggi ketika ini.

Menurutnya buat masa sekarang mereka lima sekeluarga tinggal di rumah yang dibina menggunakan papan lapis terbuang yang didirikan di atas tanah milik abang kepada isterinya.

 "Saya harap ada pihak dapat bantu bina rumah lebih selesa pada masa depan. Kalau musim tengkujuh, memang kami basah lencun terkena tempias hujan," katanya.

Penderitaan lima sekeluarga itu mendapat perhatian Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu yang turun padang menjenguk keluarga berkenaan hari ini.

Ketuanya Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata keluarga tersebut akan dijadikan anak angkat AMK Terengganu dengan fokus diberi kepada aspek pendidikan dua anak Jani yang masih bersekolah.

"Kami sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk lihat keperluan  Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7.

"Selain itu, kita akan lihat bantuan lain yang diperlukan keluarga ini untuk diteliti dan diangkat kepada pihak berkaitan," katanya yang turut menghulurkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada keluarga itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan