AM

Harimau Kumbang Jantan Mati Dilanggar Di Kuala Pilah

11/02/2025 03:41 PM

SEREMBAN, 11 Feb (Bernama) --Seekor harimau kumbang jantan seberat 40 hingga 50 kilogram mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Kampung Orang Asli Tering, Jalan Tampin-Kuala Pilah, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, pada kira-kira pukul 11 malam sebelum menemukan haiwan tersebut dalam keadaan terbaring.

"Tiga anggota Perhilitan Daerah Gemas dihantar ke lokasi dan mendapati harimau kumbang jantan dewasa itu telah mati, dipercayai akibat dilanggar. Bagaimanapun, maklumat mengenai kenderaan dan pemandu yang terlibat tidak dapat dikenal pasti kerana tiada kenderaan dikesan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan kesan perlanggaran pada besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Unit Konservasi Harimau Malaya Negeri Sembilan dan Perhilitan Daerah Seremban telah membawa bangkai haiwan tersebut ke Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan gelap, terutama berhampiran hutan yang berpotensi menjadi laluan hidupan liar.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan