AM

Kerajaan Setuju Pinda Akta Perhimpunan Aman, Siasatan Terhadap Perhimpunan Sebelum Ini Dihentikan

13/02/2025 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan sebarang perhimpunan aman di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pindaan yang dijadualkan pada sesi Parlimen akan datang itu, antara lain akan mengeluarkan Seksyen 11 akta berkenaan, yang melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan.

Bagaimanapun Anwar berkata penganjur perlu memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas.

“...dengan ini, beberapa tindakan sebelum ini termasuk umpamanya siasatan terhadap perhimpunan antirasuah yang melibatkan mahasiswa, akan dihentikan dan tidak akan ada tindakan yang diambil.

“Begitu juga tentang mogok lapar dan bantahan atau tunjuk perasaan (berhubung) SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) beberapa hari lepas juga, tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya adakah kerajaan bersedia meminda Akta 736 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Anwar berkata meskipun cadangan pindaan akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang, moratorium bagi akta itu akan terpakai pada masa sekarang.

“Walaupun ada kelonggaran, tetapi kalau pekarangan istana atau tempat-tempat keselamatan - ada peraturannya. Sebab itu kena ada notifikasi supaya polis boleh memanggil penganjur, tahu jangkaan berapa orang, ada syarat-syarat senjata atau jaminan supaya mereka menjaga dan membersihkan kawasan selepas perhimpunan aman, saya tak fikir itu terlalu rumit," katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Khoo sama ada kerajaan bersedia mengkaji semula atau menghapuskan SOSMA, Anwar bersetuju supaya undang-undang itu jelas dan tidak disalah guna untuk tujuan lain seperti dialami dalam kes membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun beliau berkata tidak ada negara di dunia, termasuk Malaysia, yang terkecuali daripada ancaman keganasan dan ia tidak boleh dipandang ringan, dan memerlukan undang-undang khusus.

“Sementara kita sokong kebebasan dan demokrasi, kita harus bezakan.. masih ada unsur-unsur yang membawa kepada keganasan, terorisme yang memerlukan satu undang-undang yang agak lain daripada kaedah yang dikenakan sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan