KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Penyata Kewangan 22 agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi adalah antara 133 penyata kewangan Agensi Persekutuan di bawah pelbagai kementerian yang diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini antara agensi di bawah kementerian itu ialah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan 19 buah universiti awam termasuk Universiti Malaya.
Turut mendapat Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran ialah 12 agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan 11 agensi di bawah Kementerian Kewangan antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jabatan Perdana Menteri melalui sembilan agensi antaranya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji (LTH) juga mendapat Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran.
“Di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, sebanyak tujuh agensi turut menerima sijil ini antaranya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA),” menurut laporan itu.
Turut mendapat Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran ialah lapan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (7), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kerja Raya masing-masing (5) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pertahanan masing-masing empat.
Tiga agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi juga masing-masing menerima sijil tanpa teguran.
Masing-masing dua agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Perpaduan Negara turut menerima sijil itu tanpa teguran.
Di bawah Kementerian Komunikasi, dua agensi termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menerima Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial