AM

Fahmi Zahir Takziah Kepada Keluarga Warga Emas Mangsa Ragut Di Bangsar

30/12/2024 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan Lim Foong Mei, warga emas yang menjadi mangsa ragut bermotosikal di Jalan Limau Manis, Bangsar pada bulan Oktober lepas.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata beliau sempat melawat mendiang Lim, 78, bersama Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas insiden tersebut.

“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga dan kenalan Lim Foong Mei - mangsa ragut di Jalan Limau Manis, Bangsar pada bulan Oktober. Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” kata Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi pada 7 Okt lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Lim sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya.

Kejadian itu menyebabkan beliau terjatuh dan tidak bergerak di atas jalan sebelum didatangi beberapa orang yang lalu-lalang dan membantunya beberapa minit kemudian.

Lim kemudian dibawa ke PPUM untuk rawatan akibat pendarahan di kepala dan diletakkan bawah pemerhatian perubatan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan