KUANTAN, 4 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang di rumah rakit, Jalan Kampung Pedah, Kampung Jerantut Feri, Jerantut, dekat sini petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.07 petang dan lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, mangsa Azri Fahmi, 14, bersama dua rakannya sedang memancing di rumah rakit tersebut sebelum terjatuh dan hanyut dibawa arus Sungai Pahang.
“Pasukan bomba membuat pencarian penyelamatan di permukaan air dengan menggunakan bot orang kampung pada jarak 1.5 kilometer. Pusat Gerakan Operasi telah mengaktifkan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menyelamat sedang berjalan dengan kerjasama pihak polis dan bantuan orang kampung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial