SUKAN

Mohd Yazid Sairi Dilantik KPE Sekretariat SUKMA Selangor 2026

09/01/2025 10:09 AM

SHAH ALAM, 9 Jan (Bernama) -- Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Selangor Datuk Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026, berkuat kuasa semalam.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata turut dilantik adalah Venu Ramadass sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) sekretariat tersebut, juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Mohd Najwan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA ke-22 Selangor 2026, berkata watikah pelantikan kedua-dua individu tersebut diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

“Pelantikan mereka telah diputuskan oleh kerajaan negeri dalam MMKN pada November tahun lalu, dan semalam mereka menerima watikah rasmi sebagai KPE dan COO, berkuat kuasa sehingga tamat SUKMA Selangor 2026," katanya kepada Bernama.

Mohd Najwan menjelaskan bahawa Mohd Yazid akan menyelaras persiapan infrastruktur dan lokasi, serta bertindak sebagai fasilitator untuk urusan melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pejabat kerajaan.

“Mohd Yazid, yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Selangor bagi SUKMA 2024, mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran SUKMA sejak temasya di Sarawak, memberikan beliau pemahaman mendalam tentang pengurusan dan persiapan acara tersebut,” katanya.

Sementara itu, Venu Ramadass dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam penyiaran sukan, termasuk sebagai bekas pengurus saluran Astro Arena dan perunding penyiaran serta penerbitan.

“Beliau juga memiliki pengalaman sebagai perunding penyiaran dan penerbitan yang terlibat secara langsung dalam penganjuran Sukan SEA di Kemboja pada 2023 dan sebagai urusetia penganjur Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Selangor pada 2022 serta 2024,” katanya.

Mohd Najwan berkata pelantikan pegawai tambahan untuk membantu sekretariat akan dilakukan dalam masa terdekat, dengan mesyuarat pertama dijadualkan tidak lama lagi, diikuti perbincangan dengan negeri-negeri lain mengenai sukan yang akan dipertandingkan, selain 28 sukan teras.

Pada 18 Julai 2024, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia mengesahkan Selangor bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA 2026.

Ia selepas tawaran yang dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli setiap dua tahun sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan