KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Perjalanan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berakhir dengan kekecewaan pada Terbuka Malaysia 2025 apabila mereka disingkirkan oleh pasangan kembar Taiwan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen pada pusingan kedua di sini hari ini.
Aaron-Wooi Yik gagal menyinar sebagai pilihan kelima kerana persembahan hambar mereka hasil rentetan kesilapan tidak dipaksa yang menyebabkan mereka tewas 14-21, 18-21 dalam masa 47 minit dalam kejohanan pembuka musim yang diadakan di Axiata Arena.
Aaron mengakui bahawa mereka tidak menampilkan persembahan terbaik, manakala kegagalan untuk memberi lebih banyak tekanan kepada pasangan lawan yang bukan pilihan juga memberi kesan.
“Mereka juga main lebih tenang terutama pada set pertama, kita beri mata yang terlalu mudah,” katanya kepada pemberita dalam temu bual selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Aaron kecewa kerana tidak dapat memberikan hadiah perpisahan yang sempurna kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen selepas tersingkir daripada kejohanan Super 1000 itu.
Aaron bagaimanapun berkata mereka masih gembira kerana memberikan detik-detik kenangan manis kepada Bin Shen termasuk memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lepas.
Selain itu, Wooi Yik turut menghargai sentuhan Bin Shen kerana telah bertanggungjawab membimbing mereka menjadi antara pasangan terbaik dunia, termasuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang merangkul kejuaraan dunia pada Kejohanan Dunia 2022.
Bin Shen yang akan meletak jawatan selepas Terbuka Malaysia 2025 akan menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada Februari sebagai jurulatih beregu.
Bagaimanapun, dua lagi wakil beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memberi keceriaan kepada penyokong tuan rumah apabila berjaya mara ke suku akhir.
Wei Chong-Kai Wun mempamerkan aksi mantap untuk mengecewakan pilihan kelapan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan 21-15, 21-13.
Wei Chong mengaitkan kejayaan dicapai berikutan beberapa pukulan bertuah yang memihak kepada mereka, sementara Kai Wun akan membincangkan strategi baharu dengan jurulatih untuk menentang sama ada pasangan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) atau pasangan adik-beradik Toma Junior Popov-Christo Popov (Perancis) esok.
Pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula bertarung selama kira-kira 69 minit untuk menyingkirkan pasangan Korea Selatan Jin Yong-Kang Min Hyuk 23-21, 16-21, 21-18 untuk mara ke suku akhir.
Yew Sin berkata pendekatan santai sejak pusingan pertama membuahkan hasil yang menakjubkan buat mereka setakat ini kerana ia membolehkan bekas pemenang pingat gangsa kejohanan dunia itu bermain dengan tenang ketika menentang lawan bukan pilihan itu.
Yew Sin juga berharap untuk bertemu pasangan profesional Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong sekiranya mereka berjaya menyelesaikan tugas besar menentang pilihan ketujuh Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India lewat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial