BENTONG, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meluaskan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh sektor perumahan dan kerajaan tempatan di negara ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata usaha melalui Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) ini bertujuan memajukan penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan dasar dalam sektor terbabit.
“Melalui kerjasama dan inisiatif ini, kita yakin akan dapat melahirkan lebih ramai lagi (golongan) profesional, penyelidik dan pemimpin yang berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
"(Selain itu,) ia juga dapat memacu I-KPKT menjadi sebuah institut latihan di bawah KPKT yang memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kepada pegawai dan petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi terlibat di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPKT yang diwakili I-KPKT dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di I-KPKT Bukit Tinggi di sini hari ini.
Majlis MOU itu disaksikan Aiman Athirah manakala KPKT diwakili Ketua Setiausaha Datuk Wira M Noor Azman Taib.
Aiman Athirah berkata kerjasama strategik ini akan memperkukuh lagi peranan I-KPKT sebagai pusat maklumat, rujukan dan penyedia khidmat nasihat utama kepada PBT selain sebagai antara inisiatif ke arah mencapai status pusat kecemerlangan (CoE).
“Setiap universiti yang terlibat membawa kekuatan dan kepakaran tersendiri, UUM misalnya dalam bidang kerajaan tempatan, UiTM dalam bidang alam bina khusus pengurusan dan pembangunan bandar serta UIAM dalam bidang alam bina dan persekitaran Islamik.
“Gabungan kepakaran ini bukan sahaja mengukuhkan asas kerjasama, tetapi juga membuka peluang luas untuk kita meneroka potensi baharu yang lebih segar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata KPKT sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa pendidikan dan penyelidikan ialah kunci utama dalam merangka dasar yang lebih efektif serta praktikal.
“Dengan memanfaatkan kepakaran dan inovasi, kita bukan sahaja dapat memenuhi keperluan rakyat dengan lebih berkesan, tetapi juga membangunkan dasar serta penyelesaian yang mampan dan inklusif.
“Komitmen ini mencerminkan aspirasi KPKT untuk terus menjadi pemangkin kepada pembangunan Malaysia MADANI, memastikan kesejahteraan rakyat dan membentuk masa depan lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial