KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membina 63 unit rumah veteran ATM menerusi program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Ar Mohd Jamil Idris berkata kerjasama dengan JHEV ATM telah dilaksanakan sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun dan berjaya membina 143 unit rumah.
“Projek pada tahun ini melibatkan 63 unit (rumah) dengan peruntukan subsidi oleh SPNB berjumlah RM1.3 juta, manakala JHEV ATM memperuntukkan RM3.5 juta bagi kos pembinaan,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sebuah hotel di ibu kota hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM20,000 subsidi diperuntukkan oleh kerajaan bagi setiap unit rumah yang berkeluasan 750 kaki persegi.
“Lokasi bagi rumah program RMR ini meliputi seluruh Malaysia,” katanya.
Mohd Jamil berkata syarat pemohon program RMR mestilah dalam kalangan veteran ATM daripada golongan B40 yang akan ditapis oleh JHEV ATM.
Sementara itu, beliau turut berharap usaha yang dilakukan bagi menghargai jasa veteran ATM negara dengan membina rumah untuk mereka berteduh dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya juga mengharapkan akan ada agensi-agensi kerajaan yang lain untuk berkolaborasi dengan SPNB ,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial