KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen Singapura Seah Kian Peng untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi Parlimen.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan itu, Johari telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Speaker Parlimen Singapura untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin legislatif berkenaan turut berbincang mengenai potensi kerjasama dalam bidang pertukaran pengetahuan khususnya dalam isu-isu keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi digital.
“Perbincangan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memanfaatkan diplomasi Parlimen untuk mendepani cabaran serantau dan global. Pertemuan ini memperlihatkan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh hubungan serantau dan menyumbang kepada kestabilan ASEAN.
“Dengan landskap cabaran global yang semakin kompleks, kerjasama strategik antara institusi legislatif kedua-dua negara diharap dapat mengukuhkan ketahanan ASEAN dalam menghadapi pelbagai isu global dan serantau,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Johari dijadualkan meneruskan lawatan rasmi beliau ke Brunei pada Rabu ini, sejajar dengan kepengerusian Parlimen Malaysia dalam AIPA ke-46.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial