SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Premis penternakan ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, Kuala Langat yang didakwa menyebabkan masalah lalat sehingga menjejaskan penduduk sekitar perlu dikenakan tindakan tegas, kata Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau berkata antara tindakan boleh diambil pihak berkuasa adalah mengarahkan premis yang telah didenda sebanyak tiga kali itu ditutup.
Borhan berkata tindakan tegas perlu bagi menunjukkan pihak berkuasa tidak berkompromi kerana terdapat pengusaha penternakan ayam yang tidak memandang serius masalah dihadapi penduduk.
"Sebelum ini, pihak kami sudah memanggil semua agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pejabat tanah, penternak serta wakil penduduk untuk bersemuka dan berbincang mengenai isu ini.
"Satu penyelesaian dibuat (ketika itu) adalah tindakan boleh diambil kepada (premis penternakan) yang tidak mengikut peraturan, dengan premis yang sudah didenda atau dikompaun tiga kali, premis berkenaan perlu ditutup," katanya pada sidang media mengenai pembukaan semula Muzium Sultan Alam Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam berhubung kehidupan kira-kira 500 penduduk daripada 104 keluarga yang terganggu dengan masalah lalat sejak tiga tahun lepas, dipercayai berpunca daripada premis penternakan ayam di kampung berkenaan.
Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat berkata pihaknya telah memberikan pendedahan kepada penternak mengenai pendekatan menguruskan premis ternakan mengikut ketetapan seperti amalan semburan racun.
Beliau berkata malangnya perkara itu hanya dipraktikkan seketika sahaja sebelum penternak kembali mengamalkan kaedah yang biasa mereka gunakan, sekali gus menyebabkan isu pencemaran dan gangguan lalat berterusan.
"Kita tiada halangan untuk mereka mengusahakan penternakan tetapi kena mengambil berat masalah penduduk di kawasan itu," katanya dan menambah terdapat kira-kira 11 pengusaha ternakan ayam di kawasan terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial