AM

PM Anwar Harap Kejadian Lelaki OKU Dipukul Tidak Berulang - Setiausaha Politik

21/01/2025 07:12 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kejadian lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Ahmad Nor Al Faizan Jusoh dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai dekat Kemaman, Jumaat lepas, tidak berulang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata Anwar juga berharap rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.

“Apa yang dikhuatiri oleh Yang Berhormat Perdana Menteri apabila berlaku kejadian itu adalah ia (seolah-olah) mencerminkan masyarakat kita. Pertamanya, kita hanya melihat orang kena pukul, kemudian yang lebih menyedihkan apabila seorang OKU itu dipukul di khalayak ramai. Jadi kita tak nak itu mencerminkan masyarakat kita.

“Tak sepatutnya berlaku perkara itu. Orang Melayu ini orang yang sabar jadi apabila jadi macam itu ia menunjukkan bahawa ada masalah kepada masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ahmad Nor Al Faizan di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila terdapat segelintir individu yang tidak mempunyai kesabaran dan mengambil tindakan sendiri.

Azman meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Ahmad Nor Al Faizan dan berkata keadaan lelaki OKU mental itu kini stabil meskipun mengalami luka-luka dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.

Sebelum ini tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berumur 47 tahun menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan makanan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Setakat ini seramai enam lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan