AM

Keluarga OKU Di Kemaman Diberikan Kaunseling - Nancy

23/01/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu telah memberikan kaunseling kepada keluarga mangsa lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul sekumpulan lelaki di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu baru-baru ini.

 Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya kini menunggu perkembangan laporan daripada pihak polis bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Pihak kami di Terengganu sudah bertemu mereka, pada mulanya dia (keluarga mangsa) tidak terima bila kaunselor kita cuba bertemu tetapi kemudian mereka setuju kaunselor kita beri perkhidmatan. Mangsa juga penerima bantuan kebajikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sanjungan Ilmu anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Datuk Seri Noraini Ahmad. 

Sementara itu, mengenai isu berkaitan jurang gaji antara siswazah wanita dengan lelaki di Malaysia, Nancy berkata ia akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet esok. 

“Perkara ini perlu dibincangkan dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebab tidak hanya melibatkan kementerian kita. Insya-Allah saya akan bawa perkara ini esok … ,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial akan diserahkan semula kepada Peguam Negara dalam masa terdekat sebelum dibentangkan di Parlimen Julai ini.

“Masih terdapat beberapa peruntukan perlu ditambah… RUU ini melibatkan ramai pihak, ia melibatkan kementerian lain juga, kita tidak mahu (ia) dihantar balik kepada kita semula nanti, jadi persoalan yang dibangkitkan Peguam Negara masa kita submit (RUU) dahulu, telah kita ambil tindakan,” katanya.

Mengenai sindiket pengemis disyaki mengeksploitasi kanak-kanak di sekitar Bukit Bintang di sini dan Klang, Selangor sehingga mampu mengutip RM3,000 sehari, Nancy berkata jenayah ini boleh mencemarkan imej negara sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025.

“Kita tidak mahu Malaysia digunakan sebagai tempat untuk pengemis seperti ini apatah lagi Mesyuarat ASEAN akan datang maka kita perlu menjaga kebersihan negara terutama sekali kawasan berdekatan yang kita adakan mesyuarat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan