AM

RM144.6 Juta Lebihan Skim PKBC, Penduduk Layak Diseru Memohon - Nga

25/01/2025 02:41 PM

SUNGAI SIPUT, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyeru penduduk Kampung Baru Cina yang layak memohon pembiayaan di bawah Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC) yang masih mempunyai lebihan RM144.6 juta. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata buat masa ini hanya RM13.5 juta telah diluluskan melalui skim berkenaan yang memperuntukkan jumlah keseluruhan pembiayaan RM158.1 juta.

“Di bawah PKBC, terdapat Skim Pinjaman Perniagaan Mikro dan Skim Pinjaman Perniagaan Mikro Plus yang secara keseluruhannya telah membantu 267 pemohon.

“Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati kerana kita tawarkan RM158.1 juta, tapi jumlah kelulusan hanya RM13.5 juta. Jadi saya minta semua penduduk Kampung Baru Cina yang layak memohon skim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Bina Baru Rumah di Kampung Baru Rimba Panjang di sini hari ini.

Nga berkata skim itu bukan hanya membantu para peniaga di bawah pendapatan tahunan tidak melebihi RM250,000, tetapi kadar faedah yang ditawarkan adalah serendah empat peratus berdasarkan baki bulanan, bersamaan dengan kadar tetap tahunan 2.25 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKT telah memperuntukkan RM121.38 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina di seluruh Semenanjung sepanjang tahun 2024.

Beliau berkata jumlah itu meningkat 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya yang melibatkan peruntukan RM107.07 juta.

“Daripada jumlah yang diperuntukkan tahun lepas, 934 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan jumlah RM107.81 juta.

“Ia meliputi pelaksanaan 631 projek kemudahan dan infrastruktur asas, membaik pulih 282 rumah penduduk di bawah Program Bantuan Baik Pulih Rumah Kampung Baru serta membina 21 rumah baharu di bawah Program Rumah MADANI Rakyat Kampung Baru,” katanya.

Selain itu, Nga berkata 1,233 batang lampu jalan jenis solar diod pemancar cahaya (LED) juga telah dipasang di 195 Kampung Baru melibatkan peruntukan RM9.97 juta sepanjang tahun lepas. 

Pada masa sama, beliau berkata enam projek geran sosioekonomi melibatkan peruntukan RM1.05 juta untuk menjalankan program bersifat penjanaan ekonomi serta RM2.55 juta untuk pelaksanaan 768 program bersifat komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan