SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan persekolahan sewajarnya kepada anak-anak pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sekiranya mereka mengikuti pendidikan di sekolah kerajaan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata bantuan berkenaan sebagai langkah menyokong kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini mendapat pendidikan secara tidak formal.
"Ada permohonan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya 200 anak-anak yang dilepaskan sebelum ini disyaratkan untuk mereka masuk ke sekolah-sekolah kebangsaan.
"Kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan persekolahan kepada mereka seperti mana anak-anak yang lain, insya-Allah kita akan bekalkan secara peribadi setiap anak-anak. Setakat ini, belum ada peruntukan khusus (bantuan sekolah) tetapi kita juga menerima tawaran penyumbang luar yang hendak bantu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata berdasarkan laporan, anak-anak berkenaan rarata-ratanya tidak mempunyai masalah mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah-sekolah kebangsaan.
Sementara itu, beliau berkata bantuan zakat kepada anak dan bekas pengikut GISBH menggunakan dana asnaf Ar Riqab oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh memastikan mereka hadir ke program pemulihan.
"Dana ini ialah elaun bulanan dengan mereka perlu menghadiri program pemulihan. Kalau bagi secara sekali bayar, kita khuatir mereka tidak hadir ke program ini jika dipanggil," katanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung agihan zakat kepada anak dan bekas ahli GISBH melalui bantuan asnaf Ar Riqab.
Sultan Selangor pada 23 Jan bertitah mengingatkan LZS bahawa agihan zakat hendaklah disalurkan kepada golongan asnaf sebenar yang layak berdasarkan kepada fatwa yang telah diputuskan, tidak terkecuali kepada golongan yang dalam proses pemulihan kerana terlibat dengan ajaran salah seperti GISBH.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial