GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Tourism Malaysia memulakan pelbagai usaha bagi mempromosikan negeri di wilayah utara khususnya Pulau Pinang bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Abdul Hadi Che Man berkata antara usaha dilakukan ialah mengadakan kerjasama dengan agensi pelancongan menerusi pakej menarik yang memfokus kepada pelbagai lokasi menarik dan unik di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“'Di Pulau Pinang produk yang kami cuba tonjolkan seperti ‘Heritage Tour manakala di Kedah dan Perlis pula kita cuba ketengahkan produk eco-pelancongan yang mampu menarik kedatangan pelancong ke kesemua negeri yang ada di wilayah utara ini.
“Kita juga akan masuk ke Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang di peringkat utara akan diadakan di Pulau Pinang. Kita akan bawakan agensi pelancongan dari Kedah termasuk Langkawi, Perlis dan Pulau Pinang untuk menjual pakej pelancongan selain pengusaha hotel dari seluruh Malaysia untuk menyertai pameran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata agensi pelancongan di utara juga akan dibawa bertemu dengan agensi di negeri lain untuk menjual pakej pelancongan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata acara hari ini adalah sebahagian usaha Tourism Malaysia seiring kempen TMM2026, yang dibuat dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Beliau berkata pelancong yang tiba menerusi 22 penerbangan antarabangsa diraikan dengan tarian singa selain diberikan buah limau mandarin sebagai simbolik sambutan Tahun Baharu Cina.
“Mereka ini menaiki penerbangan dari Taipei, Taiwan; Kuala Namu, Indonesia; Singapura; Bangkok, Thailand; dan Ho Chi Minh City, Vietnam. Ini adalah antara usaha Tourism Malaysia untuk memberikan pengalaman berharga kepada pelancong yang melawat Malaysia,” katanya.
Beliau memaklumkan acara julung kali oleh Tourism Malaysia itu dibuat serentak di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Abdul Hadi berkata tahun lepas Malaysia mencatatkan ketibaan 38 juta pelawat dengan meraih hasil pelancongan berjumlah RM102.2 bilion dan TMM2026 pula dijangka akan menarik 36 juta pelancong antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial